CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, 16 April 2013

 Sya'wanah : Menangis kerana Allah



Assalammualaikumm w.b.t...

Kisah Taladan kali ini sangat menyentuh hati dan perasaan saya...
dengan rasa insafnya.. saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat semua..

Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya."
Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahwa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka.

Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata,
"Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T, maka Allah mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu."
Akhirnya Allah S.W.T mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. "Malaikat Jibril A.S mengumumkan, telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut..."
Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, "  Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut (dalam keadaan cemas dan menunggu panggilan); tiap-tiap umat diseru untuk menerima kitab suratan amalnya (serta dikatakan kepada mereka): "Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang kamu telah kerjakan! .? (Surah al-Jatsiyah ayat 28). 

Sebaik saja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahwa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, "Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi saja yang akan berkata, "Umatku, umatku."

Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad berusaha menghalanginya dengan berkata, "Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali."
Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, "Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad S.A.W"
Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah meraihnya. Berkata Jibril A.S. "Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya." Lalu Baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu.
Setelah itu Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada Jibril A.S. "Wahai Jibril, Apakah air itu?" Maka Jibril berkata, "Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu." Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T.


Telah bersabda Rasulullah S.A.W, " Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata."


-Noorhaidatul Najiha-
Naib S/U  

post by: Ikram Hafidz

Tuesday, 9 April 2013

10 CARA MENINGKATKAN KEYAKINAN DIRI

Keyakinan diri adalah satu jati diri yang seharusnya ada dalam setiap individu. Yakin diri disini tidak bermaksud meninggi diri tetapi lebih kepada kepercayaan terhadap keupayaan sendiri dalam melakukan sesuatu. Walau apapun matlamat yang ingin anda capai, jika anda yakin dengan potensi dan kelebihan diri sendiri, insyaAllah hasil yang anda hasilkan pasti hebat. Di dalam artikel ini saya ingin berkongsi 10 tips meningkatkan keyakinan diri yang boleh anda cuba.

1. Mulakan hari anda dengan positif
Tiada apa yang lebih mengecewakan apabila anda memulakan hari anda dengan perasaan yang tidak elok. Kadangkala kerana marahkan kepada pemandu lain di jalan raya, diri anda yang menerima kesan buruknya. Ia boleh menghancurkan mood anda sepanjang hari tersebut! Jadilah seorang yang positif dan jangan biarkan perkara-perkara yang remeh menjadi penggugat hari anda.

2. Simpan matlamat harian anda
Setiap hari ketika anda bangun dari tidur anda harus mempunyai matlamat yang anda ingin lakukan pada hari tersebut. Seeloknya anda harus mempunyai senarai “to-do list” yang anda tuliskan sebelum anda tidur setiap hari. Senarai itu harus mengandungi segala perkara yang anda ingin lakukan apabila anda bangun tidur nanti. Dengan setiap tugasan yang berjaya anda lakukan, sama ada anda sedar ataupun tidak, anda telah meningkatkan keyakinan anda.

3. “Hadiahkan” diri anda
Untuk setiap tugasan besar yang berjaya anda siapkan, hadiahkan diri anda dengan perkara-perkara yang anda sukai. Sebagai contoh jika anda berjaya menyiapkan sebuah manuskrip, tulisan, ataupun jika anda berjaya dalam peperiksaan anda hadiahkan diri anda dengan melakukan perkara yang anda suka seperti melancong, menonton wayang, ataupun anda boleh beli barangan fizikal sebagai ingatan. Dengan ini anda akan lebih berkeyakinan dalam meneruskan tugasan seterusnya.

4. Tekankan kepada penampilan anda
Tentu ada sebabnya kenapa sesetengah orang yang berjaya kelihatan segak dan berpenampilan menarik. Ia kerana penampilan yang meyakinkan dapat memberikan anda sesuatu yang “extra” dalam tindakan anda. Anda tidak perlu untuk membelanjakan wang yang banyak untuk membeli pakaian yang berjenama ataupun pergi ke salun kecantikan untuk kelihatan menarik. Memadai dengan mengenakan pakaian yang anda rasa selesa dan kelihatan kemas.

5. Pilih sahabat yang positif
Rakan dan sahabat memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seorang. Rasulullah s.a.w. juga mempunyai sahabat yang sentiasa menyokong baginda dalam tugas menyampaikan Islam kepada manusia. Bayangkan betapa besarnya peranan sahabat sehingga ada dari kalangan mereka yang dijanjikan syurga. Sahabat yang baik adalah sahabat yang memberi nasihat dan galakan kepada kita. Sahabat yang positif akan memberikan kita keyakinan!

6. Bergaul dengan masyarakat
Ada sesetengah dari kita tidak suka bergaul dengan masyarakat dan lebih suka menjadi kera sumbang. Ia bukan sahaja menyebabkan kita tidak disenangi malah boleh manjatuhkan keyakinan diri kita lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan orang lain. Dengan bergaul bersama masyarakat, rakan-rakan anda boleh meningkatkan “social skills” anda dan cara anda berinteraksi dengan orang lain. Dengan ini anda akan lebih yakin diri.

7. Dapatkan hobi atau pelajari skill baru
Mempunyai hobi ataupun mempelajari skill tertentu banyak membantu dalam miningkatkan tahap keyakinan dalam diri kita. Apabila anda mempunyai hobi tentu sekali kita akan berasa seronok dan teruja. Perasaan ini dapat memberikan kita keyakinan tambahan pula apabila kita dapat berinteraksi dengan mereka yang mempunyai hobi yang sama.

8. Bersenam dan mengamalkan hidup sihat
Sama ada anda percaya ataupun tidak bersenam dapat memberikan keyakinan pada diri kita. Bukan sahaja dari segi penampilan tetapi juga secara dalaman. Apabila kita bersenam kita akan mengeluarkan hormon – testosteron dan endorphin yang membuatkan kita rasa hebat dan di dalam keadaan positif. Ia juga dapat menyihatkan tubuh badan kita dan memberikan kita tenaga dalam aktiviti harian.

9. Membaca dan menuntut ilmu
Menuntut ilmu dengan membaca atau menghadiri kelas dapat memberikan kita keyakinan apabila bercakap. Perbanyakkan membaca untuk membolehkan kita bercakap dengan pelbagai latar belakang orang yang mempunyai pelbagai kepakaran. Dengan itu kita tidak akan kekok apabila berbual dengan mereka. Dengan membaca kita dapat memperolehi “modal” dalam berbicara.

10. Sentiasa melihat kebelakang
Kita dinasihatkan untuk sentiasa melihat kebelakang apabila mengalami sebarang kesusahan ataupun kepayahan hidup. Ini kerana pasti ada mereka yang lebih susah daripada kita. Dengan ini kita dapat merefleksi diri dan membina keyakinan bahawa walau apapun yang berlaku pasti ada mereka yang lebih teruk daripada kita. Jadikan itu sebagai satu motivasi untuk menjadi orang yang lebih baik.

itulah antara 10 cara meningkatkan keyakinan diri... so,renung-renungkan dan selamat beramal...
sekian daripada saya... assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...


Disediakan oleh :
Adilah Syahirah Bt Salim
( 4 Ibnu Kathir )